November 30, 2010

Buku Travelog Syahadah



Sesungguhnya hati ini milik Allah dan ia sering berbolak balik. Adakalanya terasa terlalu tegar untuk melangkah namun tika diuji lemahnya hati hanya Dia yang mengerti. Tambahan pula kesibukan membuat persediaan menjelang final exam. Lantas aku membaca sebuah buku yang bertajuk “ Travelog Syahadah” karangan seorang muallaf yang kini sudah menjadi seorang pendakwah Islam. Beliau ialah Ustaz Muhammad Rashidi Abdullah.

Buku ini menceritakan kisah hidup beliau sepanjang perjalanan sebelum memeluk Islam dan sehingga beliau memeluk Islam. Kisah dimulai pengalaman beliau mengambil keputusan untuk berhijrah ke Johor. Ketika usia baru menjangkau 16 tahun sanggup meninggalkan keluarga dan merantau jauh demi mencari perubahan dalam hidupnya.

Masyarakat kampung yang sering menghina dan boleh dikatakan beliau adalah mangsa keadaan. Di benci oleh ayah sendiri dan dilemparkan pelbagai fitnah bukan mudah buat dirinya untuk terus kekal di tanah kelahirannya.

Setibanya di Johor diberikan layanan yang baik dan mendapat pekerjaan yang juga selesa buat dirinya. Sangkanya panas hingga ke petang rupanya hujan ditengah hari. Layanan yang diberikan semakin hari semakin teruk malahan, kebajikan mereka langsung diabaikan. Akhirnya, beliau dipertemukan dengan anggota polis dan menyelamatkan beliau dari terus menjadi hamba kepada majikan yang tidak berhati perut tersebut.

Seterusnya beliau berhijrah pula ke Klang rumah abang beliau. Di sana pelbagai lagi cabaran besar yang hadapi oleh beliau. Pelbagai pekerjaan beliau lakukan. Kenalannya juga semakin bertambah. Perkenalan beliau bersama Abang Rosli membawa seribu satu hikmah. Daripada membaca buku-buku agama milik abang Rosli sehinggalah kalimah di dalam buku tersebut membantunya ketika di dalam penjara.

Kalimah “Allahu Akhbar” yang diucapkan menjadi penyelamatkan dirinya dan menimbulkan pelbagai persoalan dalam dirinya. Bukan satu peristiwa pelik sahaja yang dilaluinya apabila mengucapkan kalimah-kalimah agung di dalam Islam tetapi banyak lagi yang ditemuinya. Apabila hatinya telah tertarik untuk memeluk Islam tetapi niatnya terhenti kerana layanan yang diterima. Kekecewaan ini membuatkan hasrat memeluk Islam pudar dan beliau kembali taat kepada agama asalnya.

Namun, hidayah itu milik Allah walaupun pelbagai onak duri di tempuhi Allah tetap memilih dirinya untuk bersama Islam. Pernah kecewa ditinggal kekasih dan cuba menjadikan arak penguat diri tetapi dengan kuasa Allah, bukan arak yang penenang sebaliknya, suara azan subuh. Belajar mendalami Islam dengan berpuasa di bulan ramadhan, memiliki keluarga angkat dan berkhatan antara persediaan awal dirinya memeluk Islam.

Akhirnya, di bumi barakah Kelantan Darul Naim beliau dipermudahkan untuk melafazkan kalimah syahadah. Sedari awal beliau telah berniat untuk mendalami Islam dan mengajarkannya kepada orang lain. Niat murni tersbeut akhirnya terkabul setelah 7 tahun mendalami Islam. Alhamdulillah…

Buku ini dapat memberi kekuatan untuk kita lebih menghargai nikmat Islam dan Iman yang kita miliki sejak lahir. Kita tidak bersusah payah, berhijrah dan dipandang serong dalam usaha mendapatkan hidayah dan nikmat tersebut. Nikmat terbesar itu diberikan secara pecuma. Namun, sejauh mana kita benar-benar menghayati dan menjadikan menjadikan Islam sebagai cara hidup.

Seorang saudara yang baru 7 tahun memeluk Islam telah mampu menyampaikan dakwah. Niat untuk berdakwah hadir dalam dirinya setelah melafazkan syahadah buat pertama kalinya. Tetapi kita adakah pernah terlintas untuk berdakwah??? Sesetengah antara kita tidak pernah memikirkan soal berdakwah malahan, Islam yang dimiliki tidak langsung dihargai.

Kekuatan yang ada dalam diri beliau dapat membuatkan pembaca tetap terus berusaha dalam mencapai cita-cita. Memudahkanlah cara orang lain insya’Allah urusan kita juga dipermudahkan. Kebergantungan kepada Allah adalah sebenar-benar sumber kekuatan. Hanya kepercayaan dan keyakinan yang mampu merealisikan impian menjadi kenyataan. kepada yg belum membaca selamat membaca...

GURU SEBAGAI ARKITEK UMMAH



Perkongsian ini aku perolehi semasa menghadiri sebuah ceramah beberapa bulan yang lalu. Isu yang dibincangkan berkaitan 'Guru sebagai Arkitek Ummah'. Kebiasaanya dalam program semasa orientasi sem satu dulu, senior mengatakan guru arkitek minda tapi hari ini tajuk ceramahlain sikit ‘ guru arkitek ummah’. Nampak tanggungjawab kat situ lebih besar lagi digalas oleh seorang guru.

Siapa itu guru?? Adakah sekadar guru atau guru sebagai murabbi??? Apa pula beza guru dan murabbi?...macam-macam la persoalan timbul.

DEFINISI

Guru: pendidik profesional yang tugas utamanya mendidik, mengajar, dan melatih para
pelajar secara formal.

Murabbi :Murabbi adalah orang yang melaksanakan proses tarbiyah terhadap mutarabbi
(peserta didik), dengan fokus kerjanya pada pembentukan pribadi muslim yang
shalih dan muslih, yang memperhatikan aspek pemeliharaan[ar-ria’yah],
pengembangan [at-tanmiyah] dan pengarahan[at-taujih] serta pemberdayaan[at-
tauzhif].

Guru-guru muslim perlu menanamkan hasrat bukan sahaja menjadi guru-guru biasa tetapi set mind sebagai seorang murabbi. Hal ini disebabkan seorang murabbi itu akan tertanam dalam hatinya untuk membentuk peribadi muslim dalam jiwa anak didiknya yang Islam. Di samping itu, dakwah Islam akan tersebar dan dapat diaplikasikan disegenap lapangan pendidikan. Pasti indahnya sistem pendidikan andainya unsur-unsur Islam diserapkan. Contoh semasa mengajar Matematik kepada pelajar, murabbi ini dapat memperkenalkan tokoh ilmuan Matematik seperti Al-Khawarizmi. Bukan itu sahaja dalam matapelajaran yang lain juga boleh dilakukan lebih-lebih lagi mata pelajaran Sains.

BAGAIMANA NAK JADI MURABBI?
- Seseorang murabbi itu perlu faham al-quran dan hadis.
- Harus bertindak sebagai khudwah hasanah(cth tauladan terbaik)

Seseorang murabbi itu pula harus membentuk keluarga yang baik. Perkara ini penting kerana sebelum kita membentuk orang lain, kita harus membentuk diri kita dulu. Keluarga juga akan menjadi sumber kekuatan kita so kalau keluarga kita sudah terbentuk dengan baik maka segala kebaikan yang kita ingin lakukan akan mendapat sokongan padu daripada mereka. Maklumlah nak buat baik banyak tentangan dan cabaran dan menuntut kita untuk ada sokongan. Selain itu juga, sekiranya keluarga kita bermasalah dikhuatiri keluarga kita itulah yang menjadi penghalang kepada pejungan kita sebagai murabbi.

Antara halangan dalam membina diri sebagai murabbi ialah ibu bapa, anak-anak, adik-beradik dan pasangan hidup. Mereka ini bukan insan lain tetapi saudara terdekat kita. Namun mereka juga lah penghalang terbesar kita dalam mencapai hasrat tersebut.

Kenapa perlu kita dan keluarga dalam kalangan yang baik? Sebab sekiranya kita berada di tempat yang kotor bisakah kita membersihkan benda yang kotor. Tapi takpe kalau kita bersih dan kita berada di tempat kotor untuk membersihkannya. Oleh itu persiapkan diri dan keluarga.

KE ARAH MANA NAK BINA UMMAH?
JAWAPANNYA:KE ARAH UMMAH RASULULLAH S.A.W...

Seseorang murabbi juga tidak boleh ketinggalan berperanan membina generasi yang membangunkan negara. Mereka harus memikirkan tentang khilafah Islamiyyah dan ingin kembalikan sistem khilafah di dunia ini semula. Cita-cita ini bukan mudah terlaksana tambahan pula masalah sosial semakin meruncingkan. Di sinilah kekuatan murabbi akan diuji.

Murabbi ini akan mengajar dan mendidik para pelajar untuk tunduk dan patuh kepada Allah dan bukan patuh pada dirinya.

Rasulullah dahulu membentuk ummah dengan menekankan aspek aqidah yang jelas, ibadah yang mantap dan akhlak yang tersusun (membina generasi al-quran).

p/s: sekadar perkongsian...Adakah aku mampu untuk menjadi murabbi???

November 29, 2010

Masihkah akan kuTemui??



Tidak ku sangka putaran dunia ini terlalu pantas beredar. Saban hari ku menanti bilakah saat pembelajaran di sini berakhir, dan kini ia semakin hampir...Tidakku sangka terlalu banyak kenangan yg tercipta di Bumi Tanjung Malim tempatku menuntut ilmu dan mengenal erti kehidupan yang bermakna. Masihkah akan ku temui seperti mu lagi???

Suatu masa dahulu pelbagai persepsi yang dihidangkan buatku. Gejala sosial dan masalah dalam kalangan mahasiswa banyak dipaparkan hingga aku membuat pelbagai andaian dan persediaan. Tanpa henti setiap solatku pastiku panjatkan " Ya Allah kurniakan aku sahabat yang soleh dan solehah yang mampu membimbingku dalam perjuangan menuntut ilmu"

"dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu" surah Al-Mu'min ayat 60

Alhamdulillah pemintaanku di kabulkan.Melangkah sahaja kaki menuju ke bilik kolej Allah telah menghadiahkan aku seorang sahabat yang solehah. Budi bicara dan akhlaknya cukup mempersonakan aku. Walaupun saat itu adalah saat pertama kami bertemu namun kemesraannya membuatkan aku cukup menyenanginya. Melalui dirinya kutemui sahabat-sahabatnya yang juga sama seperti dia. Ya Allah,indahnya ukhwah fillah ini....

Ada sesuatu kenikmatan yang sukar digambarkan dalam ukhwah ini. Bila bertemu kemesraan mudah tercipta. Sentiasa boleh berlapang dada dan bersedia membantu dalam apa juga waktu. Mudahnya jalinan ukhwah ini..

Azan berkumandang kita pasti satu rumah akn solat berjamaah andai tidak turun ke surau. Jika ada yg terleka pasti ada yang mengingatkan.solat..solat...solat...gegar satu rumah huhu...Bila time makan kita duduk dan baca doa sama-sama dan kongsi apa yang ada...Tazkirah dan pesanan spontan sering hadir mengingatkan antara satu sama lain.Tegur menengur demi kebaikan tidak pernah luntur. Bila sakit ada sahabat yang ziarah dan mendoakan. Indahnya...

Sahabat...pastikah akan ku temui sahabat-sahabatmu lagi???
Bukan hanya ku minta yang sepertimu tetapi doakan aku juga tetap istiqamah dalam meneruskan langkahan ku walaupun tanpa bersamamu.

November 04, 2010

Cabaran ulama masa kini

Oleh Harussani Zakaria
SUATU lagi sejarah tercatat pada tanggal 21 Syawal 1431 Hijri bersamaan 30 September 2010 Masihi ketika umat Islam di seluruh negara malah dunia masih rancak menyambut sambutan hari raya,

saya menerima berita kematian seorang ulama tersohor di negeri Perak yang juga merupakan sahabat karib saya iaitu Tuan Guru Datuk Haji Abdul Latif bin Haji Abdul Rahman. Beliau juga lebih dikenali sebagai Tuan Guru Pak Teh. Beliau merupakan pengasas Pondok Madrasah Ad-Diniah Al Latifiah di Pengkalan Hulu dan juga salah seorang Ahli Majlis Fatwa Negeri Perak. Pemergiannya amat dirasai sehingga kini terutama bagi para pencinta ilmu dan gerakan Islam. Saya mengenali beliau sebagai seorang yang amat istiqamah menyampaikan ilmu, kuat beribadat, tajam hafalan dan begitu komited dalam menyampaikan ilmu kepada masyarakat. Betapa saya melihat sendiri lautan manusia datang menziarah, tanpa disuruh dan dipaksa. Jalan kecil ke pondok pada hari itu terpaksa ditutup kerana lapisan manusia bersesak-sesak mahu menziarahi al-marhum jenazah beliau.

Saya yakin pemergian tokoh ulama seperti Tuan Guru Pak Teh sememangnya meninggalkan ruang kosong dalam masyarakat yang memerlukan ulama dalam memandu kehidupan mereka. Suatu soalan yang ingin saya lontarkan di sini ialah mengapa kematian para ulama disebut sebagai satu ujian kepada kita? Bagi menjawab persoalan ini, saya mengajak para pembaca merenungi sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Bukhari:

“Dari Abdullah bin ‘Amru bin Al ‘Ash berkata; aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah tidaklah mencabut ilmu sekaligus dari hamba, akan tetapi Allah mencabut ilmu dengan cara mewafatkan para ulama hingga bila sudah tidak tersisa ulama maka manusia akan mengangkat pemimpin dari kalangan orang-orang bodoh, ketika mereka ditanya mereka berfatwa tanpa ilmu, mereka sesat dan menyesatkan”.

Imam Ibnu Hajar menyatakan di dalam Kitab Fathul Bari bahawa dari Abu Umamah r.a, ketika mana Baginda SAW menunaikan Haji Wida’ Baginda SAW bersabda : “Ambillah ilmu sebelum ia dicabut atau diangkat.’ Maka para sahabat bertanya, “Bagaimana ilmu itu diangkat?' Jawab Baginda SAW : ‘Ketahuilah, bahawa perginya ilmu itu dengan perginya orang yang menanggungnya ( ulama ).”

Pemergian seorang ulama tidak sama seperti hilangnya seorang doktor, arkitek, peguam mahupun seorang pemerintah. Bukan saya bertujuan mahu memperkecilkan peranan orang lain, namun setiap manusia punya ‘gelanggangnya’ sendiri. Masyarakat yang kehilangan ulama seumpama masyarakat yang hilang arah pedoman hidup. Tiadanya ulama menandakan titik permulaan kehancuran dalam masyarakat. Ketiadaan ulama sebenarnya adalah alamat kepada berlakunya hari kiamat.

Seorang ulama adalah pewaris tugas kenabian sebagai mursyid, murabbi, mudarris, muallim dan muaddib. Tercatat di dalam kitab Tarikh Baghdad diriwayatkan bahawa seorang yang pernah sezaman dengan Imam Syafie r.a menyatakan apabila kami ingin menangis, maka sebahagian dari kami berkata kepada sebahagian yang lainnya “Mari kita pergi bersama-sama kepada pemuda keturunan Bani Muthalib (Imam Syafie) untuk membaca al-Quran. Ketika kami mendatanginya, maka ia mulai membaca al-Quran hingga manusia luluh di hadapannya dan suara tangisan pun akan terdengar. Jika ia mendengar suara-suara tangisan, ia menghentikan bacaannya”.

Seorang ulama adalah laksana bintang di langit yang memandu manusia mencari arah. Di siang hari ulama adalah matahari yang menyinari segala hidupan dengan ilmunya. Oleh kerana itulah Allah SWT telah mengangkat darjat para ulama berbanding manusia yang lain seperti mana firman Allah SWT dalam surah Al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud : “Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan.”

Banyak ilmuwan bukan bererti banyak ulama

Ketika Imam Abu Hanifah r.a wafat pada tahun 150 Hijriah, lahir juga pada tahun itu Imam Syafie r.a. Maka orang menyatakan telah pergi seorang ulama, tetapi telah datang seorang ulama. Bila Allah SWT mematikan para ulama maka ia ujian bagi umat manusia dalam mencari dan melahirkan generasi ulama baru dalam masyarakat. Kegagalan kita dalam melahirkan dan mengangkat mereka yang selayaknya digelar mahupun dinamakan sebagai ulama akan melebarluaskan ruang kesesatan terhadap umat ini.

Hari ini, ramai dari kalangan anak-anak kita telah dihantar ke universiti di dalam dan luar negara bagi mendalami ilmu-ilmu agama. Secara zahirnya, kita sudah melahirkan para ilmuwan Islam, namun saya berpandangan ia masih belum mencapai tahap sebagai seorang ulama yang hebat. Seorang ulama yang hebat bukan sekadar terbina ilmu dengan timbunan kitab-kitab, tetapi juga perlu menempuh lautan pengalaman. Mereka bukan sekadar penyampai ilmu, tetapi pembimbing dan penasihat. Mereka bijak membawa fatwa untuk diterjemahkan ke dalam dunia hakiki. Setiap katanya adalah mutiara bukannya kaca. Setiap geraknya adalah cerminan adab yang terkandung dalam kitab-kitab. Hidupnya untuk memandu umat bukan dipandu.

Maka adakah para generasi ilmuwan muda pada hari ini mampu mengisi kekosongan ini? Saya bukan pesimistik dengan kehadiran ilmuwan muda hari ini, malah saya sentiasa akan cuba membimbing dan menunjuk ajar mereka sebaik mungkin. Namun inilah cabaran kita hari ini, segulung ijazah adalah permulaan perjalanan untuk menjadi seorang ulama. Terjunlah ke dalam rumpun masyarakat bagi memahami situasi, dengan itu barulah kita mampu menjadi seorang ulama yang hebat.

Cabaran dalam berdakwah

Secara peribadi, saya telah menikmati asam garam dalam kerja-kerja dakwah dan kemasyarakatan dalam jangkamasa yang agak lama. Memegang amanah sebagai Mufti Kerajaan Negeri Perak sahaja sudah menjangkau 26 tahun dan terlibat sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Peringkat Kebangsaan sudah melangkaui 35 tahun. Saya berserah kepada Allah SWT agar tugasan ini menjadi amal soleh sebagai bekalan saya di akhirat. Terjun dalam arena dakwah memerlukan kesungguhan dan kesabaran yang amat tinggi. Banyak kenyataan yang telah saya keluarkan menjadi bahan cacian dan sendaan pelbagai pihak. Teringat saya kepada kenyataan yang pernah saya nyatakan dahulu bahawa haram hukumnya menonton filem Bollywood. Begitu juga haram menganjurkan program Sure Heboh. Terdapat banyak pihak memberi ulasan yang pelbagai bagi “menghalalkan” filem dan program tersebut untuk dipertontonkan kepada masyarakat. Saya sama sekali tidak pernah akur biarpun didesak oleh pelbagai pihak supaya melihat bahan tontonan dan program tersebut dari perspektif positif, kerana bagi saya pihak berwajib perlu menyajikan kepada masyarakat bahan-bahan yang boleh menambahkan kemantapan aqidah, kekuatan beribadah dan nilai tambah kepada akhlak dan adab. Apatah lagi sajian-sajian tersebut amat digemari oleh generasi pewaris agama, bangsa dan tanah air kita.

Dalam konteks ini, saya ingin menukilkan bahawa alangkah baiknya jika Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dapat memberi ruang kepada para mufti, para agamawan mahupun para cendekiawan Islam bersama-sama memberi idea dan buah fikiran dalam penyediaan garis panduan penyiaran rancangan-rancangan televisyen dan program-program anjuran mereka. Dalam catatan kehidupan saya sebagai mufti khususnya, saya tidak pernah dipanggil secara rasmi untuk dikongsi idea dan pandangan berkenaan hal ini. Pernah para mufti berhasrat untuk bertemu dengan menteri terbabit dan tarikh pertemuan sudah diatur, namun kunjungan kami hanya disambut oleh pegawai dari kementerian terbabit. Dalam hal ini, saya memuji kesediaan Allahyarham Datuk Seri Kamaruddin Mat Isa ketika menjawat jawatan Timbalan Menteri di sebuah kementerian untuk bertemu dan berbincang dengan para mufti terhadap isu-isu yang berlaku ketika itu. Sebagai seorang mufti, saya menzahirkan rasa kecewa kerana keinginan untuk bertemu dengan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan seringkali tidak tercapai sedangkan banyak isu dan permasalahan yang boleh diketengahkan oleh para mufti. Ini satu contoh yang diperturunkan dalam ruangan ini supaya para ulama dan terutamanya para mufti tidak sewenang-wenangnya di labelkan sebagai “bisu” dan “lembab” .

Saya melihat bahawa kegagalan mengawal selia bahan-bahan penyiaran juga merupakan ejen dan penyumbang kepada kerendahan akhlak dan moral para muda mudi dewasa ini. Biarpun terdapat rancangan-rancangan berbentuk keagamaan ditayangkan, namun pada pengamatan saya ia tidak mampu menyaingi rancangan hiburan yang seolah-olah menjadi suatu kemestian untuk disiarkan setiap hari. Pada saya, inisiatif perlu diambil oleh pihak kementerian agar dasar dikaji semula supaya bahan-bahan yang akan ditayangkan dikawal dan disaring agar memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh syarak. Apakah ertinya melaungkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh sekiranya bahan-bahan tontonan umum tidak menepati penanda aras yang telah ditetapkan oleh Islam?

Mutakhir ini, saya dihubungi oleh pihak media berhubung dengan perancangan Program Transformasi Ekonomi ( ETP ) yang mahu menjadikan Malaysia sebagai hab hiburan bertujuan memaju industri pelancongan negara. Saya difahamkan bahawa program ini akan lebih menyuburkan kegiatan-kegiatan maksiat yang terang-terangan boleh merosakkan akhlak anak bangsa terutamanya di bandar-bandar besar. Biarpun program ini bertujuan menggandakan pendapatan dan akan berlaku peningkatan ekonomi terhadap negara, namun saya menentang keras program ini kerana ia sama sekali tidak menjamin pulangan yang membanggakan terhadap peningkatan akhlak masyarakat. Para mufti, para pendakwah dan para ustaz membanting keringat menyedarkan masyarakat saban hari tentang bahaya maksiat dan dosa, namun dalam masa yang sama aktiviti yang berteraskan maksiat disubur biakkan. Saya mengharapkan agar pihak yang berwajib melakukan kajian semula terhadap cadangan ini dan saya berkeyakinan semua para mufti dan cendekiawan Islam akan bergerak senada dan seirama membantah cadangan ini. Menghindarkan masyarakat dari sebarang kerosakan lebih baik daripada mengubat masyarakat yang sudah rosak dan tenggelam dalam kelalaian.

sumber:http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1031&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

November 01, 2010

MENCARI KEKASIH...




Kekasih merupakan insan yang sering didambakan. Kesunyian akan dirasai andai bersendirinya tanpa insan bernama kekasih. Jiwa remaja sering bergolak untuk memiliki insan yang bakal dinobatkan sebagai kekasih hati..Diintai kiri dan kanan untuk mencari siapalah insan bertuah yang sudi menemani hari-hari dan perginya sepi yang bersarang di hati. Indahnya jika ada kekasih yang menemani sepanjang meniliti liku-liku hidup...=)

Terdetik di dalam sanubari paling dalam....Adakah impian hati ingin memiliki kekasih seperti pasangan kekasih yang sering kelihatan di sana-sini? Adakah kehidupan bersama kekasih seperti kawan-kawan akan membuatkan hati ini tenang? Itukah kekasih dambaan hati kecil ini? Harus bagaimana mencari kekasih yang sebenar?? Ya Allah bagaimana.....

Cinta dan sayang itu mudah terzahir dengan kata-kata dan gerak langkah seseorang. Rasa yang dimiliki sukar disembunyi seperti sebuah syair arab pernah menyebut:

" Tanda-tanda cinta tidak dapat disembunyikan oleh seseorang laksana pembawa kasturi tidak dapat menyembunyikan keharumannya"

Setiap insan normal pasti akan mengalami perasaan cinta dan naluri ingin dicintai-menyintai. Dalam kitaran hayat mengikut pandangan teori Eric Ericson pada usia 21 hinga 24 tahun kehendak menusia lebih tertumpu kepada mencari pasangan hidup. Oleh itu bersyurkurlah andai merasai kehendak mencintai dan dicintai kerana ia lambang kenormalan anda.

Ramai yang merasai dan menikmati rasa "cinta-mencintai" tetapi tak ramai yang membuktikan mereka benar-benar menghargainya. Mengapa yea??

Lihatlah laluan mencari cinta.......
Walaupun cinta itu fitrah tetapi ia tidaklah mudah. Usaha itu yang berterusan harus diamalkan. Antara bentuk usaha yang digariskan:

1) ISTIHAROH - untuk mencari pasangan yang sesuai
- ia juga dilakukan dikala hati 50/50 dlm membuat pemilihan.sekiranya tak 50/50 pohonlah thabatkan hati dgn pilihan diri.
2) PERBINCANGAN - minta pandangan ibu bapa dan insan-insan yang layak
3) BERDOA - doa itu senjata mukmin. Antara doa yang dianjurkan:

" Ya Allah andai perkara ini baik buatku palingkanlah wajahku kepadanya, begitulah juga palingkanlah wajahnya kepadaku. sekiranya dia tidak baik buatku jauhkanlah dirinya daripada diriku dan jauhkan diriku daripada dirinya"

USAHA ------- ISTIHAROH------PILIH-------MENCARI KEKASIH


Sebelum kita melalui jalan yang penuh liku, usahlah akur dipersimpangan. Namun fikirkan natijah akhir yang bakal terjadi disetiap jalan yang dilalui.


Pencarian kekasih adalah proses yang perlu dilakukan dengan usaha. Setelah menemui susunlah kekasih di hatimu dengan ranking yang sewajarnya:

1) ALLAH
2) RASUL
3) JIHAD
4) MUKMIN
5) ASET

Semoga kekasih yang ditemui tidak membawa fitnah kepada diri.

" Aku tidak meninggalkan sesudahku satu fitnah yang lebih berbahaya kepada lelaki melainkan wanita" (HR Bukhari, no. 5096, Muslim no. 2740)

Perkongsian dari: Program Mencari Kekasih. Anjuran: Exco Kebajikan JMk KHAR 2010/2011
Penceramah ; Ustaz Anhar Bin Opir